SELANGOR

Kakitangan Rumah Puteri Arafiah bakal terima bonus sebulan gaji

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 MEI: Kakitangan Rumah Puteri Arafiah (RPA) kini mampu tersenyum lebar apabila bakal menerima bantuan khas kewangan sebulan gaji sempena Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Perkara itu diumumkan Pengerusi RPA yang juga isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad pada Program Santunan Mahabbah dan Majlis Berbuka Puasa, di Rumah Puteri Arafiah (RPA), di sini, semalam.

Beliau berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta khidmat bakti dicurahkan mereka kepada masyarakat, khususnya terhadap rumah perlindungan berkenaan.

“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) ada beberapa sumbangan seperti RPA yang sebenarnya di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

“Kebanyakan bantuan diterima PEKAWANIS adalah daripada CSR MBI, jadi ia di bawah Kerajaan Negeri. Bila Dato’ Menteri Besar umum bonus, kakitangan ini akan dapat sekali memandangkan mereka pun tidak berapa ramai iaitu dalam 18 orang,” katanya kepada SelangorKini

Terdahulu, seramai 120 anak yatim termasuk remaja puteri dari Rumah Darul Wadah, Rumah Jagaan Al-Fikrah dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) diraikan dalam majlis anjuran PEKAWANIS itu.

Rumah Perlindungan Puteri Arafiah adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri di bawah umur 21 tahun anjuran PEKAWANIS yang ditubuhkan sejak Jun 2011.

Ia ditubuhkan bagi membimbing dan memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan dan rohani.

PKNS menjadi penaja utama dengan membiayai sepenuhnya kos penyelenggaraan premis.

RPA turut menerima penajaan daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Perbadanan Menteri Besar.

Majlis Agama Islam Selangor juga tidak ketinggalan menerusi Sumbangan Ar Riqob dengan menyediakan program kerohanian, kelas bahasa Inggeris dan Arab.

 


Pengarang :