NASIONAL

Kanak-kanak dua tahun meninggal dunia dipercayai didera

ALOR SETAR, 26 MEI: Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun meninggal dunia, dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak, semalam.

Ekoran kejadian itu polis telah menahan suspek berumur 28 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, kanak-kanak itu telah dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, namun doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

“Pada pukul 7.30 malam semalam, suspek memaklumkan telah menemui anak tirinya dalam keadaan terbaring di lantai bahagian dapur,dalam keadaan tidak sedarkan diri. Suspek telah segera membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan daya tumpul di bahagian abdomen, berikutan terdapat koyakan pada hati mangsa, pendarahan pada organ dan kesan lebam pada usus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahnaz berkata, doktor turut memaklumkan bahawa mangsa juga mungkin dicubit dan ditumbuk di bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam dan kesan corak kecederaan pada mangsa adalah daripada perbuatan yang disengajakan.

“Kecederaan dalaman yang dialami mangsa juga adalah baru dan tidak sampai beberapa jam sebelum mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ibu mangsa berumur 22 tahun juga turut ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :