NASIONAL

Kanoute ajak berbuka puasa di Stadium Wembley

SHAH ALAM, 27 MEI: Bekas pemain bola sepak Mali, Frederic Kanoute, mengumumkan Stadium Wembley di London akan menjadi lokasi majlis berbuka puasa bersama masyarakat bukan Islam pada 29 Mei ini.

Berkata melalui pesanan video dimuat naik di media sosial Facebooknya, Kanoute yang juga Pemain Terbaik Afrika 2007 mengajak orang ramai hadir bersama, sama ada secara bersendirian mahupun bersama keluarga.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah, pada 29 Mei, program iftar terbuka akan diadakan di Stadium Wembley.

“Datanglah bersama keluarga, rakan-rakan, mahupun bersendirian untuk menyertai acara terbabit,” katanya menerusi pesanan video berdurasi 42 saat.

Majlis berbuka puasa itu adalah sebahagian daripada program Ramadan Tent Project yang dibuat untuk menyebarkan pemahaman tentang puasa, Islam dan Ramadan kepada penduduk bukan Islam.

Program itu memasuki tahun keenam sejak ia dianjurkan pada 2013.

Setiap tahun, masyarakat pelbagai bangsa dan agama dijemput untuk berbuka bersama-sama di lokasi yang terpilih.

Sebelum ini, Dataran Tavistock di Bloomsbury pernah dijadikan lokasi majlis sama.

Menggunakan tanda pagar #MakingHistory, program terbabit biasanya memilih mercu tanda terkenal di London sebagai lokasi program.


Pengarang :