GLOBAL

Kazakhstan mahu tarik banyak pelabur Malaysia

NUR-SULTAN (Kazakhstan), 18 MEI: Kazakhstan mahu menarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam bidang pendidikan, pengangkutan dan industri makanan, kata Pengerusi Kazakh Invest, Saparbek Tuyakbayev.

Malah, sudah ada beberapa rundingan yang sedang dijalankan dalam bidang pendidikan, katanya.

“Kami sedang berunding. Sama ada menjelang akhir tahun atau awal tahun depan, kami berharap dapat membuat beberapa pengumuman mengenai pelaburan baharu dari Malaysia, terutama dalam bidang pendidikan,” katanya kepada wakil media asing pada akhir Forum Ekonomi Astana 2019 selama dua hari, di sini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butirannya seperti institut pendidikan tinggi mana yang terlibat.

Pada tahun-tahun akan datang, Kazakhstan menyasarkan untuk membina rangkaian sekolah antarabangsa serta kolej dan kampus pendidikan di ibu negaranya Nur-Sultan.

Tuyakbayev juga berkata, Kazakhstan turut berminat untuk mencontohi Piawaian Halal Malaysia berikutan negara merancang mengembangkan industri makanannya.

“Piawaian halal Malaysia diterima dengan baik di banyak negara, dan jika kami mahu mengeksport produk makanan kami, terutamanya kepada negara majoriti Islam seperti negara-negara Teluk, akan lebih mudah (dengan mempunyai pensijilan halal),” katanya.

Malah di Kazakhstan sendiri, umat Islam merupakan 70 peratus daripada jumlah 18.3 juta penduduknya.

Malaysia ialah antara rakan dagangan utama Kazakhstan di rantau Asia Tenggara.

Pada Oktober tahun lepas, Majlis Perniagaan Malaysia-Kazakhstan (MKBC) mengadakan mesyuarat sulungnya di bandaraya terbesar dan bekas ibu kota Kazakhstan, Almaty.

Sehingga kini, syarikat dan pelabur Malaysia bersama rakan kongsi Kazakhstan mereka sedang melaksanakan projek-projek dalam bidang minyak dan gas, pembinaan, pertanian, kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui dengan pelaburan kira-kira US$1 bilion (RM4.2 bilion).

Perdagangan antara kedua-dua negara meningkat hampir empat kali ganda kepada US$478 juta (RM2.0 bilion) tahun lepas daripada US$123 juta (RM513 juta) pada 2017.

Daripada jumlah itu, US$351 juta (RM1.5 bilion) adalah daripada eksport minyak mentah Kazakhstan ke Malaysia, manakala US$127 juta (RM530 juta) adalah eksport Malaysia terutamanya produk minyak sawit, getah, tekstil, perabot dan elektronik. – BERNAMA


Pengarang :