NASIONAL

KDN nafi dakwaan Naib Presiden Putra

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyangkal dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mengenai 100,000 pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang berasal dari Republik Rakyat China dianugerahkan kewarganegaraan oleh kerajaan.

Malah, KDN dalam kenyataan berkata, dakwaan tersebut tidak berasa dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hanya 37 individu dari Republik Rakyat China yang dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia bagi tempoh 10 Mei hingga 15 Mei 2019.

“Kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan hak ekslusif yang tidak ditawarkan serta diberikan dengan sewenang-wenangnya.

“Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah sesorang warga asing memenuhi syarat seperti diperuntukkan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan-perundangan lain yang berkuat kuasa seperti peraturan imigresen.

“Setiap pertimbangan dibuat dengan teliti kerana ia akan menyebabkan warga asing terbabit menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja,” katanya.

Pada masa sama, KDN menegaskan supaya semua pihak tidak mengeluarkan dakwaan tidak berasas yang boleh mengelirukan orang awam serta menggugat keharmonian negara.

“Kementerian sentiasa komited dalam memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutaan,” katanya.

 


Pengarang :