NASIONAL

Keadaan Ismail Kamus stabil, henti sebar khabar angin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus dilaporkan sihat dan stabil di Institut Jantung Negara (IJN) sekali gus menyanggah khabar angin yang mendakwa beliau meninggal dunia.

Exco Penerangan, Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh berkata, Ismail, 71, dijangka keluar daripada wad pada petang ini atau esok.

“Berikutan tersebarnya berita Tuan Guru Ustaz Ismail Kamus dalam keadaan sangat uzur atau tenat dan pagi ini disebarkan berita bahawa beliau telah meninggal adalah tidak benar sama sekali.

“Gambar yang dirakam (berbaju kuning) oleh pihak tertentu adalah sewaktu tuan guru baru saja selesai menjalani pembedahan kecil dan dalam keadaan rehat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, berita tidak benar dengan situasi sebenar diharapkan tidak dipanjangkan dan ia boleh mengelirukan orang ramai.

Ismail dimasukkan ke IJN semalam bagi menjalani pembedahan berkaitan jantung dan kini masih dalam pengawasan doktor.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 merupakan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia.

 


Pengarang :