AGAMANASIONAL

Kedah juara keseluruhan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan jabatan bomba

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Kedah diumumkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Tilawah al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah Peringkat Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 1440H/ 2019M, semalam.

Kemenangan itu susulan daripada dua wakil JBPM Kedah iaitu Mohd Juwaidi Shahbudin dan Siti Aisyah Md Arif dinobatkan sebagai qari serta qariah terbaik.

Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata, tempat kedua pertandingan itu dimenangi JBPM Pulau Pinang sementara tempat ketiga menjadi milik JBPM Pahang.

“Mohd Juwaidi menewaskan peserta JBPM Johor dan Selangor bagi kategori qari, sementara bagi kategori qariah, Siti Aisyah mengatasi peserta dari JBPM Negeri Sembilan juga Perak.

“Bagi kategori alunan azan, Mohd Saiful Shamsudin dari JBPM Pahang dinobat sebagai juara. Bagi kategori qasidah dimenangi JBPM Pulau Pinang,” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Auditorium Haji Mansur, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato’ Amer Yusof.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Mei lalu adalah anjuran bersama Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dan Biro Kebajikan dan Kebudayaan MASKAB turut membabitkan penyertaan daripada kakitangan jabatan bomba seluruh negara.


Pengarang :