Selangorkini
NASIONAL

Kehilangan Kay Kim detik paling suram dunia akademik dan sejarah

ccsb-ads

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MEI: Kematian Tan Sri Dr Khoo Kay Kim disifatkan sebagai kehilangan besar dunia akademi khasnya dalam bidang sejarah negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jasa beliau dalam bidang sejarah dan pembinaan negara tercinta ini terlalu banyak serta sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Hari ini menjadi antara detik paling suram dalam dunia akademik dan bidang sejarah negara, apabila tokoh yang disegani, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia kira-kira jam 10.00 pagi tadi pada usia 82 tahun.

“Sesungguhnya jasa beliau dalam bidang sejarah dan pembinaan negara tercinta ini terlalu banyak serta sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” tulisnya di muat naik terkini status laman rasmi media sosial facebook beliau.

Maszlee turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Kay Kim dan berharap segala urusan berjalan lancar.

Tokoh sejarawan negara itu meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

Berita menyedihkan itu disahkan anak mendiang, Eddin Khoo sendiri.

“Benar, beliau meninggal dunia sekitar 30 minit yang lalu selepas mengalami masalah paru-paru,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

 


Pengarang :