SELANGOR

Kembara Ramadan PREC santuni 354 anak yatim dan asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberi sumbangan Aidilfitri kepada 354 anak yatim dan asnaf miskin di enam rumah kebajikan terpilih sekitar Selangor pada program Kembara Ramadan PREC 2019 di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, sumbangan diberikan dalam bentuk wang tunai sebagai duit raya dan barangan elektrik.

Katanya, program itu adalah salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat memerlukan dengan wang zakat diperuntukkan tahun ini.

“PREC sentiasa komited menyalurkan sumbangan kepada rumah dan badan kebajikan terpilih selepas menilai serta melakukan lawatan berdasarkan khidmat nasihat daripada pihak Lembaga Zakat Selangor.

“Kami melihat sumbangan ini satu keperluan dalam membesarkan anak-anak bermula dari rumah dan di sekolah yang sememangnya memerlukan kos banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum bermulanya acara ‘flag off’ di Valet Parking SACC Mall, di sini, hari ini.

Kembara Ramadan PREC 2019 membabitkan hampir semua kakitangan PREC dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB) yang turut turun padang bagi memberikan sumbangan itu.

Antara rumah yang dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.

Majlis pelepasan dilaksanakan Ketua Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni.

Menerusi lawatan itu, kakitangan PREC dan PHSB turut berpeluang mempereratkan ukhuwah bersama anak-anak terbabit dengan aktiviti yang dirangka seperti sesi bersama maskot, ahli silap mata, badut, kuiz dan origami kreatif.

 


Pengarang :