SELANGOR

Kempen Raya bersama PKNS di Shopee tarik 30 usahawan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 2 MEI: Bagi menyambut ketibaan Ramadan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan berjaya menarik lebih 30 usahawan bersempena kempen Raya Bersama PKNS di Shopee mulai 30 April sehingga 30 Mei ini.

Hasil kerjasama PKNS, Shopee Malaysia dan Selangor Information Technology And E-Commerce Council (SITEC) itu bertujuan menawarkan peluang perniagaan dalam talian kepada usahawan bagi memasarkan produk dan menjadi landasan sumber pendapatan mereka.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, kira-kira 1,000 jenis produk dan kelengkapan Aidilfitri ditawarkan kepada pengguna Shopee seperti biskut, keperluan kecantikan dan aksesori sepanjang musim perayaan itu.

“Pada masa sama, kami mahu terus bekerjasama dengan SITEC dan Shopee bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membangunkan Selangor sebagai hab dagangan serantau.

“Juteru, melalui program ini usahawan PKNS berpeluang mendapat pendedahan dan memenuhi keperluan untuk memasarkan produk mereka kepada pengguna Shopee,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Raya bersama PKNS di Shopee di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan turut dihadiri Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim.

Siti Zubaidah berkata, beliau berharap inisiatif itu disambut baik masyarakat terutamanya golongan usahawan kecil dan sederhana.

“Selaras dengan hasrat kerajaan, PKNS sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan teknologi bagi membantu dari sudut fizikal, ekonomi dan sosial.

“Saya berharap, landasan ini mampu meluaskan kumpulan sasar usahawan sekali gus merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memperdaya negeri dan mensejahterakan rakyat atas cetusan inovasi ini,” katanya.


Pengarang :