NASIONALSELANGOR

Kempen Speak Out perkasa bukan perokok nyatakan hak

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 4 MEI: Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan kempen ‘Speak Out: Express Your Right, Protect Your Lung’, bagi memperkasa bukan perokok untuk menyatakan hak mereka mendapatkan persekitaran bebas asap rokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada 85 peratus penduduk yang tidak merokok mengekpresikan hak dan meyakinkan golongan perokok untuk berhenti merokok.

“Menyedari bahaya asap rokok kepada manusia, kementerian berpendapat sudah tiba masanya untuk mengambil inisiatif memperkasa golongan bukan perokok supaya mereka mampu mengatakan tidak kepada asap rokok basi.

“Ketika ini, terdapat 85 peratus penduduk negara ini tidak merokok dan kita yakin mereka berupaya membantu kerajaan menjayakan kempen yang akan dijalankan selama lima tahun, iaitu sehingga 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

Katanya, sebelum kempen itu dicadangkan, Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM turut menjalakan tinjauan bagi mendapatkan padangan orang awam berkaitan pemerkasaan golongan bukan merokok.

Dr Dzulkefly berkata, tinjuan terbabit dijalankan pada April lalu terhadap 1,430 orang responden di seluruh Malaysia.

“Hasil dapatan kita menunjukkan 96 peratus bersetuju bahawa mereka akan menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka dan 98.4 peratus menyokong pihak kementerian untuk menjalankan kempen ini.

“Dapatan itu turut memperlihatkan 22.2 peratus menyatakan mereka tidak tahu berhubung asap rokok basi dan tertier serta 11 peratus tidak pasti bahaya dua jenis asap rokok itu.

“Kita harap kempen ini dapat memberi pendidikan kepada masyarakat untuk berani menyatakan hak mereka terhadap udara bersih, sekali gus membantu perokok berhenti merokok,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung perkembangan polisi kawasan larangan merokok, beliau berkata, sebanyak 25,791 notis amaran dikeluarkan, sehingga 4 Mac lalu.

“Manakala bagi aktiviti penguatkuasaan pendidikan, sebanyak 200,887 program sudah dijalankan di seluruh negara. Mungkin perkara ini orang tidak nampak sebab tiada kamera di situ.

“Kita juga membuat pemeriksaan kepada 90,078 premis di seluruh negara. Kita tidak buat pemeriksaan terhadap rokok sahaja, tetapi juga berkenaan aspek kebersihan,” katanya.


Pengarang :