SELANGOR

Kempen ‘Waste Wise Cities’ pupuk cintai alam sekitar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 25 MEI: Bagi menyahut seruan kempen ‘Waste Wise Cities’, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 16 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan gotong-royong di Taman Rekreasi Wawasan, hari ini.

Program dikenali sebagai ‘Waste Wise Cities Campaign Clean Up’ itu dilaksanakan selaras kempen yang diperkenalkan oleh agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, program itu bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat setempat supaya mencintai alam sekitar.

Katanya, selain menjaga kebersihan, perkara baharu yang perlu dititik beratkan adalah pembentukan budaya 5R, iaitu fikir semula (Rethink), jangan terima (Refuse), kurangkan (Reduce), guna semula (Reuse) dan kitar semula (Recycle).

“Zaman dahulu kita hanya sebut 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle tetapi sekarang 3R tidak mencukupi, perlu tambah lagi 2R iaitu Rethink dan Refuse.

“Jadi sekarang apabila kita sebut berkenaan mencintai alam sekitar, kita ingat 5R kerana 3R sudah ketinggalan zaman. Jadi program ini kita nak membudayakan 5R kepada masyarakat setempat.

“Pada hari ini juga ada tiga kawasan yang turut menjalankan program sebegini iaitu Taman Wawasan, Taman Merak Puchong Jaya dan Taipan USJ,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Program yang membabitkan lebih 50 penduduk setempat itu dimulakan dengan senaman ringan pada 8 pagi sebelum diteruskan dengan aktiviti gotong-royong dan bersurai pada 11 pagi.

Selain membersihkan kawasan taman dan tasik, penganjur turut meletakkan 10 unit tong sampah kitar semula baharu di taman terbabit.

Pada masa sama, Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan aktiviti kitar semula di seluruh Selangor dan akan melancarkan program secara besar-besaran, pada tahun hadapan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, UN-Habitat Malaysia mencadangkan dua bandar di Selangor dihantar bertanding ke peringkat antarabangsa, iaitu Subang Jaya dan Petaling Jaya.

“Jadi, program pagi ini adalah langkah awal bagi melihat kesediaan kita untuk bertanding dengan lebih 50 buah bandar di seluruh dunia,” katanya.

Difahamkan, Syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) mengutip kira-kira 650 tan sampah domestik sehari di kawasaan selian Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan kos RM50 juta setahun.

Pada 2018, MPSJ melupuskan 242,127 tan sampah di tiga pusat pelupusan sampah yang menelan belanja RM8.5 juta dan dapat menjimatkan RM1.3 juta ekoran kitar semula sampah sebanyak 13 peratus (36,975 tan).


Pengarang :