Kenyataan tidak berasas isu kuota haji boleh jejas hubungan Malaysia, Arab Saudi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kenyataan tidak berasas isu kuota haji boleh jejas hubungan Malaysia, Arab Saudi

PARIT BUNTAR, 5 MEI: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang kenyataan tidak berasas berkaitan kuota haji negara ini hingga boleh menjejas hubungan baik antara Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penetapan kuota haji dan pemberian kuota tambahan berdasarkan rayuan adalah hak Arab Saudi.

“Janganlah kita mengheret isu kuota tambahan 10,000 jemaah haji dengan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak baik terhadap Islam sedangkan ia satu rumusan yang berbahaya. Jangan ghairah tunjuk kononnya bela Islam.


“Dalam rekod beberapa tahun lalu Arab Saudi tidak pun bagi kuota itu kepada kita. Mungkin dia (Arab Saudi) akan bagi dalam last minit dan saya anggap dia (Asyraf Wajdi) tidak ada modal politik dan gambarkan bahawa puncanya dari kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jurutera Masuk Desa (Jumdesa) 6.0 di Kampung Sungai Megat Aris, Bagan Tiang dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam yang mendakwa umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 untuk menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan PAKATAN dengan Arab Saudi.

Kenyataan Asyraf dalam satu majlis di Mergong, Kedah pada Jumaat lalu disiarkan Utusan Malaysia.

Menjelas lanjut, Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar meminta Asyraf dan Utusan Malaysia agar memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mengeluarkan kenyataan yang buruk mengenai jemaah haji dan kerajaan Arab Saudi.

“Saya telah pergi ke Arab Saudi dan tak timbul masalah hubungan kita Malaysia dengan Arab Saudi,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang dipanggil Perhimpunan Perpaduan Ummah di Kuala Lumpur semalam, Mujahid berkata, penganjurannya dilihat bertujuan menimbulkan sentimen politik supaya umat Islam memandang buruk kepada kerajaan PAKATAN.

“Apa yang dimaksudkan mereka dengan Islam tertindas?. Islam tolak sebarang fahaman politik yang berbentuk fitnah kerana fitnah itu berbahaya daripada membunuh,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next