NASIONAL

Keracunan metanol di Perak kes pertama dicatat tahun ini

PUTRAJAYA, 7 MEI: Kes keracunan metanol di Perak yang mencatatkan tiga kematian, baru-baru ini adalah kes pertama yang dicatatkan negara untuk tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kes keracunan metanol yang mengakibatkan kematian berlaku setiap tahun, dengan 40 kematian direkodkan pada tahun lalu.

“Kes ini sentiasa berlaku dari semasa ke semasa kerana permintaan ke atas minuman alkohol murah sentiasa ada,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Berhubung kes keracunan metanol di Perak, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menerima 10 notifikasi kes membabitkan enam warga Malaysia termasuk dua Orang Asli, manakala empat lagi adalah warga asing.

Tiga daripada 10 notifikasi kes itu mencatatkan kematian membabitkan dua warga asing dan seorang warga tempatan, katanya.

Pecahan kes mengikut daerah ialah lima kes di Kinta, Perak Tengah (dua), Kuala Kangsar (dua) serta Larut Matang dan Selama masing-masing satu kes, katanya.

Ditanya jika kementerian merancang untuk mengurangkan harga pelekat nikotin atau membuat apa-apa produk dengan harga istimewa di klinik kerajaan bagi membantu seseorang itu berhenti merokok, Dr Dzulkefly berkata beliau sedang meneliti perkara itu.

-BERNAMA


Pengarang :