PELABUHAN KLANG, 3 Mei — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) merasmikan Natural Resources and Commodities Hub Steinweg Port Klang di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Global C. Steinweg Group Ulf Boll. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan cadang hapus peraturan pemindahan kapal

KLANG, 3 MEI: Kerajaan bercadang untuk menghapuskan beberapa peraturan terutama berkaitan permit import (AP) bagi menjadikan pelabuhan di negara ini lebih berdaya saing dalam bidang pemindahan kapal, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, peraturan dan permit terhadap barangan yang diperlukan untuk melakukan aktiviti permindahan ke kapal menjadikan pelabuhan tempatan tidak mampu bersaing dengan pelabuhan di negara lain terutama Singapura.

“AP dan beberapa peraturan lain yang menyebabkan pelabuhan kita kurang berdaya saing akan dihapuskan, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain berhubung cadangan ini.

“Barangan menerusi pemindahan kapal bukan untuk dipasarkan ke pasaran tempatan sebaliknya ia hanya disimpan dan dibungkus semula di sini sebelum dihantar ke pasaran negara lain, oleh itu AP tidak perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan gudang C. Steinweg Logistics (Malaysia) Sdn Bhd di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Belanda di Malaysia Karin Mossenlechner, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan C. Steinweg, Ulf Boll dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Loke berkata pihaknya memahami bahawa setengah peraturan dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bagaimanapun ia tidak seharusnya menyebabkan pelabuhan tempatan tidak berdaya saing dan sebaliknya negara perlukan kaedah lebih baik untuk mengawasi barangan yang keluar dan masuk ke negara ini.

Pada 1 April lalu, kerajaan mengecualikan syarat AP ke atas kenderaan secara pemindahan kapal dari pelabuhan tempatan.

Sementara itu, Boll berkata syarikat itu telah melabur kira-kira US$40,000,000 (RM165.6 juta) bagi membina Hab Sumber Asli dan Komoditi di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ditanya berkenaan faktor yang mendorong C. Steinweg Group membuat pelaburan secara berterusan di Malaysia, beliau berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan antaranya tenaga kerja berkelayakan, hubungan darat dan air yang bagus serta infrastruktur lengkap untuk menyokong syarikat berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :