NASIONAL

Kerajaan ‘gagal perang persepsi’, perlu lebih agresif

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak berjaya menguasai perang persepsi sehingga membantutkan program penerangannya, kata ahli akademik.

Dr Mohd Yusri Ibrahim, pensyarah komunikasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkata perang tanggapan itu masih dikuasai pembangkang.

Bercakap kepada Selangorkini sempena satu tahun PAKATAN, beliau yang juga ketua penyelidik Ilham Centre berkata kegagalan perang ini turut disebabkan faktor janji manifesto.

“Perang persepsi dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang, organisasi masyarakat yang menentang kerajaan serta mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan ‘malu apa bosku’,” katanya.

“Selepas itu, apa sahaja penjelasan kerajaan tidak mampu mengatasi gelombang persepsi tersebut, termasuk isu Tabung Haji, hibah dan sebagainya.”

Sementara seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menggesa kerajaan berkongsi maklumatnya dengan “agresif”.

“[Persepsi negatif sebab] kurang perkongsian maklumat yang mendalam. [Masyarakat] terbudaya dengan gaya lama. Justeru perkongsian maklumat perlu agresif, mendalam dan terbuka,” kata Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Mengulas isu ekonomi dan kaum, Dr Mohd Yusri berkata tanggapan itu wujud apabila semakan subsidi yang dibuat oleh PAKATAN melibatkan golongan B40 yang kebanyakannya Melayu.

Begitu juga tanggapan kerajaan “tidak serius” dalam menangani kemerosotan harga komoditi yang melibatkan petani-petani Melayu dan luar bandar.

“Mereka tidak nampak kerajaan ghairah untuk mengatasi masalah ini, akibatnya mereka rasa kerajaan PAKATAN tidak menjuarai isu-isu Melayu,” katanya lagi.

“Kerajaan pula gagal menangani persepsi tersebut dengan baik, akhirnya sentimen PAKATAN [ditohmah] tidak pro-Melayu berkembang dengan pantas.”

Dalam isu kaum, seperti konvensyen ICERD atau Statu Rom, Dr Muhamad Nadzri menggesa kerajaan menjawab langsung isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dan rakyat dengan aktif.


Pengarang :