BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri akan tuntut ganti rugi dari WCE

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan Negeri akan menuntut kos ganti rugi daripada Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) berkaitan insiden gangguan bekalan air di Klang baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, berdasarkan siasatan Kerajaan Negeri mendapati kesan kejadian insiden itu berpunca daripada pergerakan tanah sehingga menyebabkan paip berkenaan teralih.

Katanya, siasatan terhadap pemaju akan diserahkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ia terletak bawah bidang kuasa kedua-dua agensi terbabit.

“Saya sedang menunggu laporan daripada Air Selangor dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM). Selepas itu kita akan menuntut yang selayaknya daripada WCE, dimana saya kira beban yang besar buat Kerajaan Negeri dan pengguna air di Selangor.

“Kita cuma siasat bagaimana kesannya dan apa kesan terhadap paip kita. Kita akan tuntut kerana pada tahap ini memang jelas ia berpunca daripada pergerakan tanah terbabit.

“Sesetengah paip itu teralih yang menyebabkan Klang berdepan masalah gangguan air selama berhari-hari dan amat malang ia berlaku pada awal Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar bersama Pengamal Media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, beliau optimis LLM dapat memastikan keadaan lebuhraya WCE itu selamat sebelum ia boleh dibuka untuk laluan orang ramai.

Katanya, Kerajaan Persekutuan dan JKR selayaknya bertangungjawab dalam memastikan jaminan keselamatan terhadap lebuh raya terbabit.

“Harapan saya kerana ia akan digunakan oleh rakyat Selangor khususnya. Pastikan ia selamat supaya tidak runtuh atau terjadi sebarang masalah seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Mengulas berkenaan sama ada perlu campur tangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Amirudin berkata, setakat ini tiada keperluan ekoran semua punca gangguan bekalan air masih dapat dikenalpasti.

Katanya, kejadian kritikal yang terjadi baru-baru ini sehingga membabitkan 600,000 pengguna pada awal Mei, namun berjaya diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

“Bagaimanpun, kita gagal menyiapkan dengan pantas kerana terjadinya beberapa kemalangan susulan selepas itu.

“Malah, sebelum ini yang berlaku di tempat lain tidak mengambil tempoh yang terlalu lama dan catuan air akhir pernah berlaku pada 2012, 2013.

“Oleh itu, bagi saya RCI tidak perlu kerana kita sudah ada rancangan, cuma Kerajaan Negeri terpaksa menyusun kewangan bagi memperbaiki dan menaiktaraf sistem pengagihan air,” katanya.

 


Pengarang :