SELANGOR

Kerajaan Negeri edar 5,000 bubur lambuk esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri berkongsi kemanisan Ramadan yang mulia bersama dengan warga Shah Alam dan sekitar, melalui penganjuran Program Rasa Bubur Lambuk Mega Warisan Selangor, yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, esok.

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sejumlah 5,000 pek Bubur Lambuk akan diagihkan pada program itu.

“Juadah Bubur Lambuk, sememangnya begitu sinonim dengan kedatangan Ramadan, yang mana ianya amat digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

“Program pada esok diadakan buat julung kalinya oleh penganjur, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, dengan usahasama Tourism Selangor dan pelbagai agensi kerajaan serta swasta,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi menghasilkan sejumlah besar pek Bubur Lambuk dalam masa ditetapkan, sukarelawan dari agensi itu akan mengadakan aktiviti memasak secara gotong-royong yang bermula seawal jam 10 pagi.

 

Katanya, mereka terdiri daripada sukarelawan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Politeknik Sabak Bernam, selebriti tempatan, wakil chef dari pihak penaja serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain menjadi salah satu inisiatif Kerjaan Negeri untuk berkongsi rezeki pada Ramadan bersama dengan rakyat sekitar, program ini menjadi satu landasan yang baik untuk diperkenalkan kepada pelancong asing tentang budaya Malaysia yang sarat dengan nilai berkongsi rezeki dan menitipkan erti kesyukuran.

“Program ini juga membuka peluang kepada pelancong untuk mengenali nilai gastronomi Malaysia yang unik dan seterusnya merasai sendiri kelazatan juadah tempatan yang beraneka,” katanya.

Program itu dirasmikan EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.


Pengarang :