SELANGOR

Kerajaan Negeri sasar 10 juta pelancong tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MEI : Kerajaan Negeri menyasarkan 10 juta pelancong dalam dan luar negara bakal berkunjung ke Selangor, tahun ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, Selangor mencatatkan kemasukan pelancong dari luar negara sekitar 7.25 juta, tahun lalu.

“Selangor berjaya menyumbang kira-kira 28 peratus daripada jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia sebanyak 25.8 juta dan jumlah resit pelancongan pada tahun lalu dianggarkan mencecah sehingga 10 bilion.

“Pada tahun ini pula, kita sudah merancang beberapa program selaras dengan Tahun Melawat Malaysia.

“Malah, sebelum ini kita juga sudah pergi ke Berlin, Dubai dan Jepun untuk mempromosikan beberapa produk pelancongan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rasa Bubur Lambuk Mega Warisan Selangor di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim Mohd Fahim dan Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT), Dato’ Paiman Keromo.

Terdahulu, sebanyak 5,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga Shah Alam sempena program yang dianjurkan Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Rasa.

Editor Pengurusan Majalah Rasa, Ida Abd Aziz berkata, program itu bertujuan mengimarahkan Ramadan dan salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama serta penyatuan masyarakat di Selangor.

Katanya, sebanyak 20 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong dan kemudian diagihkan secara percuma kepada orang ramai, pasukan beruniform dan beberapa masjid sekitar Shah Alam dari jam 5 hingga 6.30 petang.

Program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor.

Selain itu, antara sukarelawan yang terlibat memasak bubur lambuk sejak jam 10 pagi tadi adalah UiTM Puncak Alam, Politeknik Sabak Bernam, beberapa selebriti dan chef terkemuka.

 

 


Pengarang :