ALAM SEKITAR & CUACA

Kerajaan Negeri tidak akan kompromi pihak jejaskan khazanah Selangor

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi tindakan salah laku pihak tidak bertanggungjawab yang menjejaskan kawasan hutan simpan kekal khazanah dan simpanan alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, semua kerja pembangunan perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Pemantauan keadaan pembangunan terus dipergiatkan khususnya membabitkan kawasan hutan dan penempatan orang asli di seluruh Selangor.

“Tindakan akan diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, penduduk Kampung Orang Asli mengemukan aduan berkenaan air bukit tercemar membabitkan aktiviti kerja tanah di sebahagian kawasan Kompartmen 10, Hutan Simpan Bukit Lagong.

Dalam kenyataan sama, Loy Sian memaklumkan mesyuarat antara penduduk orang asli dan beberapa agensi seperti Jabatan Perhutanan Selangor, Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan turut diadakan pada 21 Mei lalu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Susulan kejadian itu, Jabatan Daerah Selangor mengeluarkan surat henti kerja kepada sebuah syarikat kerana membina jalan hutan tanpa kebenaran yang menyebabkan pencemaran air bukit.

Pada masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengemukakan kertas siasatan dan tiada kerja tanah dijalankan syarikat terbabit sehingga 21 Mei lalu.

Justeru, kerja pembaikan dan pemulihan kawasan terbabit akan dipulihkan dengan kadar segera serta syarikat berkenaan bersetuju mendapatkan air bersih daripada SYABAS secara terus kepada penduduk terjejas.


Pengarang :