NASIONAL

Kerajaan optimis tangani cabaran ekonomi

GEORGE TOWN, 18 MEI: Kerajaan sentiasa optimis dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi dan berusaha menanganinya sebaik mungkin, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sekarang ini, Malaysia sedang menghadapi dua cabaran ekonomi yang besar iaitu masalah kewangan daripada kerajaan terdahulu serta krisis perdagangan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Cabaran pertama, membabitkan masalah kewangan yang diwarisi daripada kerajaan lama dan ia sudah tentu menyusahkan kerajaan sekarang untuk menjalankan projek-projek pembangunan. Manakala cabaran kedua adalah perang perdagangan AS dan China, ini memberikan kesan global dan semua negara pun terkena tempias. Ia merupakan cabaran yang besar kerana Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan pengeksport.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama MPKKK Kadun Air Putih di Masjid Kampung Bharu, Air Itam hari ini.

Lim bagaimanapun berkata walaupun menerima tekanan ekonomi, kerajaan tetapi menangani permasalahan itu dengan sebaik mungkin.

“Kita boleh melihat kejayaan kerajaan dalam menangani masalah ini, apabila pertumbuhan ekonomi pada suku pertama mencecah 4.5 peratus iaitu melebihi jangkaan daripada pihak swasta yang hanya meramalkan kenaikan 4.1 peratus atau 4.3 peratus. Di sini kita telah pun melebihi ramalan itu dan ia merupakan satu petanda baik iaitu unjuran ekonomi berkembang dengan mampan serta dalam keadaan stabil dan sihat, ” katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan ekonomi terus bergerak dengan mampan, sektor perbankan perlu memainkan peranan dengan memudahkan dan melonggarkan syarat pinjaman, bukan sahaja kepada pembeli rumah kos rendah serta mampu milik, malahan peniaga dari industri kecil dan sederhana.

“Saya harap pihak perbankan boleh melonggarkan sedikit (syarat) dalam memudahkan pinjaman kepada perniagaan yang masih aktif beroperasi. Saya juga memohon pihak bank melonggarkan kriteria kemudahan pinjaman bagi pembeli rumah kos rendah dan mampu milik.

“Selain itu pihak bank juga perlu memberi kemudahan pinjaman kepada mereka yang ingin berniaga khususnya kepada pengusaha industril dan kecil sederhana kerana ini semua membantu dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :