BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan PAKATAN janji kerja lebih keras

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 9 MEI : Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan terus bekerja keras untuk memenuhi janji dan keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat, tegas Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, barisan kepimpinan kabinet sedia ada tidak lupa dengan tanggungjawab dan amanah diserahkan rakyat kepada mereka.

Katanya, setakat tempoh setahun, Kerajaan PAKATAN telah berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi seberapa banyak tanggungjawab itu.

“Memang ada kekurangan dan kesilapan dan untuk itu Kerajaan ini akan terus berusaha untuk memperbaikinya.

“Sokongan rakyat amat penting untuk menjayakan pelbagai program dan inisiatif dan pada hari ini kami kembali kepada rakyat untuk melaporkan pencapaian dan usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.

Pada masa sama, Tun Mahathir berkata, Kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi.

Katanya, ia supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran.


Pengarang :