BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan PAKATAN kotakan 39 peratus manifesto

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 9 MEI: Kabinet Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mencapai 39 peratus manifestonya, selepas Pilihan Raya Umum ke 14, lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, sementara sebanyak 53 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan dari 128 inisiatif, manakala 283 inisiatif atau 60.99 peratus masih di peringkat perancangan atau masih belum bermula.

Katanya, prestasi itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 peratus berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember, tahun lalu.

“Peratusan berkenaan dicapai bermula bagi tempoh 10 Mei 2018 hingga 30 April 2019 untuk ‘Membina Negara dan Memenuhi Harapan’.

“Ia juga diukur melalui status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.

Tun Mahathir berkata, Kerajaan PAKATAN telah dan sedang berusaha untuk memenuhi janji seperti yang terkandung di dalam ‘Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan’.

“Alhamdulillah, kita telah berhasil dalam banyak perkara,” katanya.

 

 


Pengarang :