NASIONAL

Kerajaan PAKATAN lalui nasib seperti Selangor pada 2008

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang kini ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamad melalui nasib yang sama seperti Kerajaan Selangor pada 2008.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Salimmi Dato’ Adzmi berkata, zaman peralihan pentadbiran yang dilalui pada ketika itu sama seperti suasana selepas Pilihan Raya Umum ke 14.

“Sewaktu mula-mula Kerajaan PAKATAN memegang Selangor, rizab negeri di bawah pentadbiran lama iaitu Barisan Nasional hanya tinggal berapa juta sahaja, malah kita berdepan pelbagai masalah serta isu.

“Pada waktu itu pembangkang cuba menguji dengan membawa isu perkauman dan agama, namun Kerajaan Selangor di bawah PAKATAN terus fokus mentadbir dan membawa perubahan.

“Lihatlah keadaannya pada hari ini, rizab Selangor sudah bertambah baik malah kita mengecapi kemanisan, itulah persamaannya dengan Kerajaan Malaysia yang kini baru sahaja beralih tampuk kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bual Bicara Politikonomi : Kejayaan Setahun PAKATAN di TV1, malam tadi.

Turut hadir dalam bual bicara itu ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Sepang, Adhif Syan Abdullah, ADN Balakong, Wong Siew Ki dan ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Mengulas lanjut berkata, disebabkan itu adalah tidak adil rakyat menghukum PAKATAN dengan sekadar melihat pencapaian dalam tempoh setahun sahaja.

“Selangor juga mengambil masa bukannya hanya setahun tetapi lebih dari itu, tetapi kita berjaya mengubah Selangor. Begitu juga kita dapat memberi rakyat air percuma tetapi ia bukan mengambil masa sebulan ataupun dua bulan,” katanya.


Pengarang :