BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan pantau isu pergerakan tanah – Xavier

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 MEI: Kerajaan Persekutuan akan memantau isu pergerakan tanah di lokasi paip pecah berhampiran Projek West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, di sini.

Menteri Tenaga, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya turut mengarahkan pihak bertanggungjawab melakukan siasatan terperinci berhubung situasi berkenaan.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara sudah memulakan siasatan dan selepas siasatan itu dijalankan barulah kita tahu apakah punca terjadi masalah ini.

“Saya akan meminta kepada pihak yang sesuai untuk menangani masalah ini dan saya akan memberi tumpuan kepada kawasan pergerakan tanah itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Air Selangor dan kontraktor-kontraktor yang melakukan kerja 24 jam melakukan kerja penyambungan air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja pembaikan paip pecah di Projek West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

Pada masa sama, Xavier berkata, pihaknya turut berharap insiden berkenaan tidak berulang kembali yang menjejaskan ribuan penduduk.

“Saya faham ini bulan Ramadan dan umat Islam sangat memerlukan bekalan air.

“Saya berharap agar selepas ini tiada lagi masalah seperti ini berlaku dan kita dapat meneruskan projek kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut meninjau lokasi  ketiga-tiga paip utama yang pecah ekoran pergerakan tanah pembinaan lebuhraya WCE Banting-Taiping.

Kesemua paip berjaya dibaiki sekali gus sumber bekalan air disambung semula pada 6 petang tadi dan akan terus diagihkan ke kolam tadahan berhampiran dalam tempoh satu hingga dua jam.

Penduduk yang terputus bekalan air sejak Ahad lalu, dijangka akan mula menerima bekalan malam ini.

 


Pengarang :