BANGI, 15 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) merasmikan Hari Belia Negara 2019 bertemakan ‘Youth Power’ di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan setuju lantik anggota Dewan Negara wakili belia

BANGI, 15 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan bersetuju melantik seorang anggota Dewan Negara dalam kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia.

Beliau turut mencadangkan supaya pelantikan itu dibuat dalam masa terdekat.

Inisiatif penyertaan anak muda akan diteruskan dengan melantik belia berkelayakan dalam pelbagai jawatan utama bagi meningkatkan suara anak muda dalam membuat keputusan.

“Atas kepercayaan dan kesetiaan anak muda dalam memberi ruang kerajaan baharu memimpin negara pada hari ini, kita akan pastikan suara anak muda akan sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan kerajaan di semua peringkat – daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Fokus dan keutamaan dalam membangunkan generasi muda melalui pelbagai inisiatif akan terus dilaksana dan diperkukuh oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Belia Negara 2019 bertemakan ‘Youth Power’ di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

Perdana Menteri berkata golongan muda yang merupakan generasi pemimpin akan datang, secara beransur-ansur perlu diterap dan diberikan peranan dalam usaha-usaha mentadbir dan membangun negara.

Dr Mahathir berkata kerajaan berpegang kepada prinsip tidak ada sesiapa pun yang terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab termasuklah tanggungjawab terhadap negara.

“Benar ada yang berpendapat bahawa golongan muda tiada pengalaman dan mungkin akan terburu-buru membuat keputusan yang mungkin bukan yang terbaik.

“Kerana itu kita perlu mencari kombinasi yang terbaik di antara golongan muda dan tua untuk memacu negara. Ini kerana, jika golongan muda kurang berpengalaman – semangat, komitmen, tenaga, kesungguhan dan idealisme mereka mampu membantu,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan Youth Power Club, yang berperanan menambah penglibatan anak muda dalam pertubuhan belia serta menggerakkan aktiviti mereka di peringkat akar umbi yang menjurus kepada kerja-kerja komuniti.

Beliau juga berkata lebih RM50 juta akan diperuntukkan bagi pelaksanaan program Youth Power bagi tahun ini dan tahun depan.

Peruntukan itu, katanya, termasuk RM7.4 juta untuk tahun 2019 bagi menggerakkan Youth Power Club di 222 kawasan di seluruh negeri.

“Peruntukan berbentuk geran untuk program Youth Power ini boleh dimohon oleh semua persatuan berdaftar termasuk mereka yang belum pernah mendapat bantuan peruntukan daripada kerajaan sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi meluaskan akses kemudahan sukan dan rekreasi kepada semua anak muda, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dana khas pada tahun 2020 untuk pembangunan infrastruktur sukan luar bandar bersama sektor swasta.

-BERNAMA


Pengarang :