BERITA UTAMASELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah dijangka siap awal pagi ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerja membaik pulih paip utama yang pecah berdekatan projek Lebuhraya WCE-Banting dijangka siap awal pagi ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja baik pulih itu kini sekitar 70 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya jam 7 pagi.

“Saya menerima maklumat daripada Air Selangor berhubung perkara itu. Kelewatan akibat pergerakan tanah yang tidak dijangka.

“Saya sudah berhubung dengan pasukan di kawasan terbabit dan mereka sedang bertungkus lumus ketika ini bagi menyiapkan kerja baik pulih,” katanya menerusi catatan di media sosial.

Pada masa sama, Amirudin juga meminta pihak yang memerlukan bekalan air menghubunginya dengan meninggalkan mesej di Facebook atau Instagram.

“Boleh DM saya alamat jika kawasan anda kritikal dan memerlukan bekalan air dan saya akan cuba sampaikan kepada pihak Air Selangor untuk bantuan selanjutnya.

“Saya sudah meminta Air Selangor menghantar lori tanker ke kawasan paling kritikal buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Air Selangor dalam kenyataan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pelanggan.

“Penyaluran semula bekalan akan dilakukan sejurus kerja pembaikan siap.

“Pemulihan di kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat dan tempoh pemulihan bagi setiap kawasan berbeza,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat dan status terkini, sila muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan juga boleh hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2816793 atau 019-2800919 untuk bantuan.


Pengarang :