SELANGOR

Kerja-kerja pembaikan pam SSP3 disasar siap seawal pagi esok

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerja-kerja pembaikan kerosakan peralatan pam air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) disasarkan siap seawal pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan salah satu pam utama di loji berkenaan masih giat dijalankan.

Katanya, pam berkenaan akan kembali beroperasi sejurus kerja-kerja pembaikan siap bagi penyaluran bekalan ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan seterusnya pelaksanaan proses pemulihan secara berperingkat.

“Pihak kami akan mengemaskini status dari semasa ke semasa dan segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan kepada pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori-lori tangki terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) kami akan terus beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan ini amatlah dihargai dan pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 atau 019-2800919.

Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


Pengarang :