PUTRAJAYA, 21 Mei — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Mohamad Nordin Ibrahim (tiga, kanan) menandatangani plak sebagai gimik pelancaran dua buah buku dan dua naskah Al-Quran pada Program Khatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2019M / 1440H di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff Mirasa (dua, kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerjasama tambah nilai program Diploma Tahfiz al-Quran

PUTRAJAYA, 21 MEI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Restu bagi mendapatkan kepakaran dalam tulisan khat untuk menambah nilai program pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jakim, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Menurutnya, Yayasan Restu melalui Nasyrul Quran yang berpengalaman dalam mencetak dan penerbitan Al-Quran boleh berkongsi kepakaran bersama pelajar Darul Quran bagaimana untuk menyalin semula juzuk-juzuk daripada kitab suci dalam ragam hias yang cantik dan menarik.

“Satu daripada syarat pengajian diploma tersebut ialah pelajar perlu menulis dan menyalin semula ayat al-Quran yang dihafal. Ada yang mampu menulis dengan cantik dan ada juga yang sebaliknya.

“Dengan kerjasama ini, kita boleh menyelaras jenis tulisan atau kaligrafi tertentu melalui bimbingan yang diberikan Nasyrul Quran untuk digunakan oleh pelajar dalam melengkapkan pengajian mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Khatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata kebolehan menguasai teknik tulisan khat yang baik berserta kemampuan menghasilkan ragam hias yang menarik mampu memberi nilai tambah kepada lepasan Diploma Tahfiz Al-Quran pada masa akan datang.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff Mirasa yang turut hadir berkata yayasan itu bersedia berkongsi kepakaran melalui tenaga pengajar di sebuah kolej di bawah Yayasan Restu yang menawarkan pengajian dalam bidang seni mushaf atau seni khat.

“Kami memang ada pakar dalam tulisan khat dan atas sebab meningkatkan budaya menyalin Al-Quran di kalangan umat Islam, kita sambut baik cadangan yang dibuat dan sedia berkongsi kepakaran yang ada,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :