SELANGOR

Kerusi keselamatan kanak-kanak diwajibkan pada 2020

 

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 31 MEI: Penggunaan kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak di dalam kenderaan akan diwajibkan pada 2020 bagi mengurangkan kadar kecederaan atau kematian akibat kemalangan jalan raya.

Pegawai Daerah Klang merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Selangor, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, penggunaan kerusi berkenaan haruslah bersesuaian dengan umur dan berat mereka serta diluluskan Suruhanjaya Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu Eropah (UNECE)

Katanya, dalam tempoh tersebut, orang ramai akan dididik berhubung kepentingan menggunakan kerusi khas tersebut khususnya terhadap keselamatan bayi dan kanak-kanak sebelum peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Menurut kajian, pelanggaran berkelajuan 30 kilometer sejam, bayi yang sedang dipegang penumpang dewasa akan tercampak ke hadapan dan mengalami kecederaan juga boleh membawa maut.

“Ini kerana, mereka yang tidak diikat dengan kemas di dalam kenderaan mempunyai risiko sehingga 84 peratus menyebabkan kematian sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Aidilfitri di GM Klang Wholesale City, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang Wholesale City; Norsuhaida Othman, Ahli Mesyuarat Tetap MKJR Selangor; Hashim Anang.

Pada masa sama, Zainal berkata, penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang juga tidak boleh dipandang ringan.

“Apabila sesebuah kereta sedang bergerak pada kelajuan 50 kilometer sejam, penumpang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat duduk hadapan dengan kesan impak sebanyak 2.4 tan.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai supaya membiasakan diri dengan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tali pinggang keselamatan tempat duduk belakang,” katanya.

 

 


Pengarang :