Kes 1MDB Najib mula bicara 19 Ogos | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Kes 1MDB Najib mula bicara 19 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, akan bermula pada 19 Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; sepanjang bulan September dan Oktober kecuali Jumaat, di samping dua minggu pertama November, untuk perbicaraan kes itu.

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd, memohon supaya mahkamah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB najib sehingga kes SRC International diselesaikan terlebih dahulu, dan tiada bantahan daripada pasukan pembelaan.


“Kami tidak mahu kes SRC International didengar sebahagian dan kemudian dibiarkan tergantung. Jika segala-galanya berjalan lancar, pendakwaan boleh menutup kes pada 21 Jun, yang juga tarikh akhir ditetapkan bagi kes 1MDB,” katanya, dan menambah, kes SRC International adalah satu daripada kes berkepentingan awam.

Hakim Sequerah berkata 1MDB juga merupakan kes berkepentingan awam, dan mahkamah telah melapangkan kes yang memperuntukkan hukuman mati bagi mendengar perbicaraan kes 1MDB.

“Saya memerlukan komitmen daripada pendakwaan dan pembelaan berhubung tarikh perbicaraan ini,” kata Hakim Sequerah.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, berkata pasukan pendakwaan tiada bantahan berhubung tarikh baharu perbicaraan itu.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mahkamah tidak menetapkan perbicaraan pada hari Jumaat supaya peguam dapat menguruskan perkara lain.

Sebelum menetapkan tarikh baharu itu, Hakim Sequerah mengingatkan pendakwaan dan pembelaan supaya tidak lagi menangguhkan kes itu kerana ini merupakan kali kedua kes 1MDB ditangguhkan.

“Ini kali kedua anda memohon kepada saya tarikh baharu. Anda perlu ingat, 1MDB juga adalah kes berkepentingan awam. Saya juga ada kes lain seperti bunuh dan dadah. Sekarang anda pohon bagi kali kedua untuk penangguhan kes 1MDB.

“Jadi, saya tetapkan keseluruhan bulan September dan Oktober selain dua minggu pertama November. Saya tidak mahu ada lagi permohonan selepas ini bagi penangguhan perbicaraan kes 1MDB,” kata Hakim Sequerah.

Mahkamah turut menetapkan 21 Jun bagi pengurusan kes.

Terdahulu, Hakim Sequerah menolak permohonan Muhammad Shafee supaya perbicaraan kes itu dimulakan pada pertengahan September kerana beliau perlu mengendalikan kes bunuh membabitkan Samirah Muzaffar, yang didakwa membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan.

Bagaimanapun, Thomas berkata mahkamah perlu memberi keutamaan kepada kes yang lebih berkepentingan awam.

Thomas: Samirah adalah kes bunuh, maafkan saya, saya bantah. Kes ini (1MDB) adalah keutamaan.

Muhammad Shafee: kes Samirah juga adalah kes berkepentingan awam.

Selasa lepas, pihak pendakwaan dalam kes SRC International yang dihadapi Najib, memfailkan usul untuk melapangkan tarikh perbicaraan kes 1MDB Najib mulai 14 Mei bagi membolehkan pendakwaan menyelesaikan kes itu terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes 1MDB bermula.

– BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next