NASIONAL

Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat

GEORGE TOWN, 21 MEI: Jumlah kes demam denggi di Pulau Pinang terus mencatatkan peningkatan kepada 2,598 kes sejak 1 Jan sehingga 18 Mei dengan lapan kematian berbanding cuma dua kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah itu merupakan penambahan 1,140 kes termasuk 91 kes baharu yang dilaporkan minggu lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan negeri jumlah kes baharu yang dicatatkan di antara 12 hingga 18 Mei lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 37.8 peratus atau 25 kes.

“Terdapat satu lokaliti wabak tak terkawal iaitu di Inderawasih Lorong dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT) manakala dua lokaliti hotspot iaitu di Flat TPJ Telok Indah E2 dan Inderawasih Persiaran 2 dari daerah sama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, terdapat 17 lokaliti wabak terkawal yang terdiri dari tiga dalam daerah Timur Laut, Barat Daya (tiga), SPT (sembilan) dan Seberang Perai Selatan (dua).

Jabatan Kesihatan turut menasihatkan orang ramai menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing bagi menghapuskan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, orang ramai turut disaran menggunakan ‘repellant’ atau baju dan seluar panjang semasa menjalankan aktiviti luar, melakukan semburan aerosol di dalam rumah dan memasang skrin pada tingkap bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.

-BERNAMA


Pengarang :