Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
SELANGOR

Kes PU Abu dan isteri dua prosedur berbeza

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Konflik perceraian Pencetus Ummah (PU) Mohamad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi dan isterinya, Ain ‘Afini Latif adalah dua prosedur berbeza serta bukan sambungan perbicaraan bagi kes pada sesi pagi, kelmarin.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dalam kenyataan berkata, hal itu kerana terdapat beberapa kandungan laporan media tempatan tidak tepat dan bercanggah dengan fakta sebenar bagi pengendalian kes berkenaan.

“Adalah dimaklumkan bahawa perbicaraan kes pada sesi petang (Saman No.10003-054-0249-2019) bukanlah sambungan perbicaraan bagi kes pada sesi pagi (Kes Saman No. 10022-054-0310-2019).

“Ini kerana, Kes Saman No.10022-054-0310-2019 sudah selesai dibicarakan dan hakim yang membicarakan kes terbabit sudah “functusofficio” iaitu; hakim telah menyelesaikan fungsi atau melaksanakan tugas kehakimannya untuk mendengar kes tersebut melalui keputusan yang sudah dikeluarkan dan tidak boleh mendengar semula kes itu.

“Sebaliknya, perbicaraan kes pada sesi petang adalah satu perbicaraan kes baharu yang difailkan oleh pasangan suami isteri terbabit pada hari yang sama,” katanya.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor juga menegaskan pengendalian semua kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Selangor sentiasa dilaksanakan selaras prosedur ditetapkan undang-undang dan hukum Syarak.

Terdahulu, Ain memfailkan kes sama di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) (EUKIS) 2003 membabitkan kes “Pendaftaran Perceraian di Luar Tanpa Kebenaran Mahkamah” terhadap PU Abu.

Manakala, pada tarikh sama, Ain turut memfailkan kes sama di bawah seksyen 61 EUKIS membabitkan “Pengesahan Rujuk” antara beliau dengan PU Abu yang pernah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, pada 28 Januari lalu.

Kedua-dua kes itu dibicarakan serentak pada 15 Mei sekitar 10.57 pagi di hadapan Hakim 2 Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar.

Prosiding yang membabitkan kes itu sudah selesai sekitar 11.45 pagi, kelmarin dan pasangan suami isteri terus beredar meninggalkan premis mahkamah.

Namun, sekitar 12.30 tengah hari, Mahkamah Rendah Syariah Klang dihubungi Ain yang memaklumkan bahawa PU Abu terlupa untuk menyatakan kepada mahkamah berhubung kewujudan lafaz pada sekitar hujung Mac lalu yang berbunyi “Saya dan dia, isteri saya sudah bercerai”.

Oleh itu, mahkamah menasihatkan supaya Ain dan PU Abu hadir ke mahkamah serta menfailkan satu kes baharu bagi menentukan status lafaz talak terbabit.


Pengarang :