NASIONAL

Kes pukul dua anggota Rela selesai secara bayar kompaun RM2,000

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki daripada dua tuduhan iaitu mencederakan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang menjalankan tugas di sebuah tokong, di sini dua tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak iaitu tertuduh, Liow Soon Hee, 31, dan dua mangsa, Lee Weng Poh, 29, serta Leong Jun Jie, 23, bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM2,000 kepada setiap mangsa.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh juga memberitahu tertuduh telah menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh memang menyesal dengan apa yang terjadi di tokong dan mohon maaf dan akan membayar pampasan RM2,000 kepada setiap mangsa,” katanya pada prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan.

Mohamad Firdaus kemudian memanggil kedua-dua mangsa dan bertanyakan beberapa soalan iaitu samada mangsa bersetuju menerima kompaun, adakah mereka dipaksa menerima kompaun, adakah melakukannya dengan rela hati dan faham bahawa kes itu tidak akan diteruskan sekiranya menerima kompaun.

Kedua-dua mangsa melalui jurubahasa bahasa Mandarin kemudian memberitahu mereka bersetuju menerima kompaun itu dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.

“Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan ini diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini membenarkan kompaun RM2,000 dibayar kepada kedua-dua mangsa dan mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada tuduhan,” kata Mohamad Firdaus.

Liow kemudian membayar wang itu secara tunai kepada kedua-dua mangsa sebelum mereka dilihat bersalaman antara satu sama lain.

Terdahulu sebelum perbicaraan bermula, Rajpal memberitahu terdapat perkembangan terbaharu apabila anak guamnya mahu menyelesaikan kes dengan membayar kompaun kepada kedua-dua tertuduh dan menjimatkan masa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan peguam itu.

Liow sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan cedera ke atas dua anggota Rela itu yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi, 27 Okt 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :