SELANGOR

Ketua Pendakwa Syarie lancar penggunaan rasmi logo JPSS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MEI: Penggunaan logo rasmi Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) dilancarkan selepas jabatan terbabit ditubuhkan pada 1 April lalu.

Penggunaan logo yang mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dilancarkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abu Bakar Mohd Daud, hari ini.

Abu Bakar berkata, penggunaan logo terbabit melambangkan semangat warga kerja jabatan itu untuk membawanya ke dimensi lebih cemerlang.

“Logo yang mendapat perkenan untuk diluluskan baginda pada 2 Mei lalu turut melambangkan profesionalisme, efisien dan intergriti jabatan dalam menguruskan pendakwaan syarie di Selangor.

“Walaupun jabatan ini masih muda tetapi saya harap warga kerjanya lebih kuat menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penggunaan Rasmi Logo JPSS di Hotel De Palma, di sini.

Abu Bakar berkata, sebelum ini jabatan itu turut melancarkan laman rasminya pada 24 April lalu.

Sementara itu, Majlis Pelancaran Penggunaan Rasmi Logo JPSS itu turut diserikan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan JPSS.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :