NASIONAL

Keuntungan bersih MAHB susut pada suku pertama

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2019, susut kepada RM149.58 juta daripada RM444.59 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan bagaimanapun meningkat tiga peratus kepada RM1.25 bilion berbanding RM1.22 bilion, berikutan peningkatan pertumbuhan penumpang secara keseluruhan sebanyak 3.7 peratus.

“Operasi di Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang sebanyak 3.7 peratus (antarabangsa: +0.8 peratus, domestik: +7.0 peratus) kepada 25.3 juta penumpang berbanding suku yang sama tahun lepas sebanyak 24.4 juta penumpang.

“Trafik penumpang untuk operasi Turki meningkat 3.8 peratus (antarabangsa: +20.0 peratus, domestik: -3.8 peratus) kepada 8.1 juta penumpang berbanding dengan 7.8 juta penumpang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

MAHB berkata ia yakin bahawa jangkaan pertumbuhan 4.9 untuk 2019 akan dicapai berdasarkan unjuran kapasiti tempat duduk pada masa depan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Pembetulan dan penyatuan trafik domestik dijangka berterusan manakala sektor antarabangsa juga diunjur mencatat peningkatan, katanya.

Pengendali lapangan terbang itu juga berkata penggantungan Boeing 737MAX baru-baru ini mungkin mempunyai kesan negatif ke atas kapasiti syarikat penerbangan Indonesia ke Malaysia.

Impak itu bagaimanapun tidak memberi kesan ketara kerana kebanyakan sektor di Indonesia mempunyai banyak syarikat penerbangan yang bersaing, katanya. -BERNAMA


Pengarang :