SELANGOR

Keyakinan kunci kejayaan pelatih APMS

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANTING, 3 MEI: Sentiasa berkeyakinan menjadi pegangan peserta Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Penguat Kuasa Negeri Selangor Siri 1/2019, sehingga dinobatkan sebagai salah seorang pelatih terbaik.

Pelatih menembak terbaik Saiful Aqmal Din, 24, berkata untuk mencapai sasaran menjadi yang terbaik, peserta perlu mempunyai keyakinan tinggi bagi memperolehi matlamat diimpikan.

“Saya tidak menyangka akan menjadi penembak terbaik ketika kursus asas sukarela ini dan ini adalah kejayaan tidak ternilai bagi saya.

“Untuk memegang senjata, kita harus mempunyai keyakinan diri pada tahap tertinggi kerana ia senjata merbahaya dan tidak kenal siapa kawan atau lawan,” kata anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya itu.

Pelatih terbaik, Zambri Daswir Danur, 35, berkata kejayaannya hasil dorongan dan semangat keluarga serta rakan yang tidak pernah putus menyokongnya.

“Jangan diamkan diri dan sentiasa ringankan mulut jika tidak tahu serta rajinkan tangan untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jurulatih atas latihan dan tunjuk ajar yang diberikan kepada saya sepanjang kursus ini,” katanya yang juga anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Majlis Penutupan Kursus Perajurit Muda Sukarela Penguat Kuasa Negeri Selangor Siri 1/2019 disempurnakan Panglima Briged Kesebelas Infantri Malaysia, Brig Jen Dato’ Dr Mohd Radzi Abdul Hamid dan Timbalan Komander Rejimen 502 Askar Wataniah, Lt Kol Azmi Tukiman di Pusat latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Jugra, di sini hari ini.


Pengarang :