NASIONAL

KKM nafi virus cacar monyet berlaku di Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan berlaku kejadian cacar monyet di Johor dan Kuala Lumpur seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini tiada kes dikesan atau dilaporkan di Malaysia sementara kes di Singapura adalah yang pertama dilaporkan di Asia.

“Melalui laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes cacar monyet terkini yang dilaporkan adalah di Singapura pada 9 Mei lalu, di mana ianya hanya melibatkan seorang warganegara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April bagi menghadiri bengkel. .

“Langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut, termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan mereka.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes cacar monyet itu,” katanya dalam kenyataan.

Virus cacar monyet ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Ia boleh disebarkan melalui titisan pernafasan selain hubungan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 21 hari dan pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu.

“Tanda dan gejala jangkitan adalah demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh lain.

“Tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan cacar monyet dan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad,” katanya.

 

Kredit Foto: Kementerian Kesihatan


Pengarang :