SASTERA

Kotak Haji Amin

Oleh Arif Zulkifli

Mungkin awan tahu, kota ini kota dosa. Sebab itu hujan turun dengan lebatnya, bagai mahu membasuh setiap ceruk-lekuk kota ini daripada hitam-kotor dosa orang-orangnya. Kesejukan memeluk Haji Amin yang sedang memeluk sebuah kotak di pondok bas. Dia keseorangan sahaja di situ, cuma ditemani dengan rintik-rintik hujan yang sesekali terpercik pada jubah putihnya yang sedikit basah. Nasib baik dia sempat berlari dan berteduh di pondok bas ini. Kalau tidak, habis lencun dia dan kotak itu. Dia tidak kisah jika dia basah lencun sekalipun, asalkan kotak yang dipegangnya itu kekal kering, dan isi di dalamnya tidak rosak.

Haji Amin menyeka air yang mengalir turun di ekor matanya. Jarinya bertukar hitam. Celak yang dipakainya tadi kini sudah luntur. Dia lapkan saja jari pada jubah putihnya itu. Fikirnya, dia akan basuh jubah itu juga bila pulang nanti, jadi apa salahnya jika kotor sedikit pun.

Hari ini hari Jumaat. Hari rahmat. Rahmat Tuhan pula jatuh melimpah dalam bentuk hujan dan Haji Amin mengucap kata syukur berkali-kali. Mungkin ini petanda yang rahmat Tuhan akan menyapanya nanti. Tidak pula dia tahu dalam bentuk apa.

Angin mencium lembut bahagian kulit yang telanjang, membuatkannya menggigil kesedapan. Haji Amin pandang kiri-kanan. Cuma ada senyap dan sunyi yang berkeliaran. Tiada orang lain. Hujan makin lebat dan zikirnya makin kuat.

Haji Amin memandang kotak yang dia pegang dari tadi. Dia usap-usap luaran kotaknya, bagaikan dia sedang membelai anak sendiri. Sesekali dia turunkan ciuman pada kotak itu apabila dia pasti tiada mata yang memerhatikan. Haji Amin tersenyum apabila penutup kotak itu dibuka. Dia memandang isi kotak itu dengan penuh nafsu. Bibirnya dijilat-jilat. Air liurnya ditelan-telan.

“Ada apa dalam kotak itu, pak cik?”

Kelam-kabut Haji Amin menutup kotak tersebut dan memeluknya erat. Dia cepat-cepat berdiri dan memandang ke arah sumber suara yang mengejutkannya tadi. Seorang budak lelaki kurus melidi sedang tersengih sumbing ke arahnya. Baju budak itu kuyup, sehingga air menitik-nitik laju dari hujung bajunya ke lantai pondok bas itu, membentuk lopak yang kemudian mengalir perlahan ke arah Haji Amin. Haji Amin bergerak ke tepi sedikit, mengelak air yang berdaki, kotor itu.

“Maaf saya buat pak cik terkejut. Saya tak sengaja. Nama saya Rahmat. Nama pak cik?” Budak lelaki itu bersuara sambil menghulurkan tangan. Haji Amin memandang budak itu jijik. Dia mendengus dan duduk di tempatnya tadi.

Rahmat duduk tidak jauh dari Haji Amin. Setandan pisang diletakkan di antara dia dan Haji Amin. Entah dari mana tandan pisang itu muncul, Haji Amin pun tidak tahu. Haji Amin tidak mengendahkan budak lelaki itu dan terus menyambung aktiviti membelai kotaknya yang terganggu tadi.

“Lebat betul ya hujan, pak cik?” Rahmat menghalau sunyi dalam percubaannya untuk bersembang dengan Haji Amin. Haji Amin membalasnya dengan dengusan kuat, tanda dia malas mahu melayan.

“Biasanya kalau hujan lebat begini, mak sudah siap-siap keluarkan baldi-baldi untuk diletakkan di sekitar rumah. Satu dekat dengan pintu utama. Satu lagi betul-betul di tengah rumah. Yang itu biasa mak letak baldi yang paling besar, sebab lubang pada bumbung bahagian itu besar juga. Kemudian, baldi kesayangan mak berwarna merah mak letak di sebelah tilam kami yang dah ditutup dengan kain kanvas besar. Kata mak, biar tilam itu kekal kering bila hujan berhenti nanti. Hendak tidur pun selesa. Tak basah.”

“Saya dan tiga adik saya yang lain akan bermain teka-teka, baldi mana yang akan penuh dahulu dan biasanya sayalah yang akan menang sebab saya selalu pilih baldi yang paling kecil,” Rahmat ketawa sendiri. Haji Amin sudah panas hati. Apabila dia katakan tentang rahmat Tuhan yang menyapa, tidaklah dia sangka ia datang dalam bentuk ini.

“Tilam mesti dah lencun sekarang. Baldi sudah lama berhabuk, sejak mak pergi. Mak bukan pergi seorang. Dia bawa adik-adik sekali.” Haji Amin mengangkat kening. Dia tertarik pula mahu mendengar cerita Rahmat. “Kalau tak, saya pun kena ikut sekali, tapi saya tak nak. Kata mak, di syurga, kita tak perlu susah-payah ikat perut dan berlapar, tak perlu kelam-kabut menadah baldi setiap kali hujan, tak perlu risau tilam yang basah – kerana di syurga, Tuhan akan jaga kita.”

“Tapi saya tak nak jumpa Tuhan lagi. Belum masanya. Jadi waktu itu, saya lihat saja tubuh mak dan adik-adik melayang jatuh ke bumi dari flat di hujung jalan ini. Macam air hujan inilah. Turun dari langit, dan jatuh terhempas ke bumi.” Suara Rahmat pecah. Haji Amin lihat dari ekor matanya, budak itu sedang mengelap pipi.

“Lepas mak pergi, hidup saya makin susah. Setiap hari saya kena cari makan sendiri. Kalau dapat makan, dapatlah. Kalau saya tahu jadi begini, baik saya ikut mak saja hari itu.”

“Ha, itu dia!” tiba-tiba sekumpulan lelaki berkopiah berlari ke pondok bas itu, dan menyentap kuat tangan Rahmat sehingga dia terjatuh. Haji Amin cepat-cepat berdiri dan menjauhi kumpulan lelaki itu yang kini sedang membelasah Rahmat hingga lumat. Kotaknya masih dipegang erat.

Seorang lelaki berbadan besar dan bermisai tebal menumbuk muka Rahmat bertubi-tubi. Air hujan dan darah berlopak-lopak di lantai pondok bas. “Ini padahnya bila kau curi pisang aku!”

Dan Rahmat terus dibelasah hingga lunyai. Dia terbaring tak bermaya.

“Jom bawa dia pergi balai! Dasar budak miskin! Menyusahkan orang!” dan tubuh longlai Rahmat diheret pergi, menjauh hingga hilang daripada pandangan Haji Amin. Rahmat pergi, membawa sekali hujan bersamanya. Hujan yang lebat turun tadi kini berhenti tiba-tiba. Haji Amin menghela nafas lega.

 Macam-macam, getus hatinya. Setelah pasti hujan betul-betul sudah berhenti, dia pun berjalan pergi bersama kotaknya – yang tertampal sekeping gambar yang terpapar tiga barisan budak lelaki berjubah putih yang beratur sambil tersenyum di hadapan sebuah bangunan seperti sekolah yang belum siap, yang Haji Amin cetak daripada internet tempoh hari.

Haji Amin tersenyum-senyum kerana dia tidak sabar mahu bersenggama dengan isi kotaknya di rumah nanti!


Pengarang :