KUALA LUMPUR, 21 Mei: Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin digantung tugas buat sementara berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan menggantung tugas itu adalah bagi membolehkan siasatan yang menyeluruh dilakukan ke atas Abibullah berhubung dakwaan salahlaku.
“Sepanjang penggantungan itu, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa kononnya Abibullah, mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada pilihan raya umum lepas.
Menurut Mohd Daud, dalam tempoh itu, Pengarah Kanan YaPEIM, Parihah Hassan, yang juga Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Strategik YaPEIM, akan memangku tugas-tugas Ketua Pengarah.
Parihah adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). -BERNAMA