NASIONAL

KPDNHEP keluar 61 notis amaran kepada peniaga gagal pamer tanda harga

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Sebanyak 61 notis amaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada peniaga premis makanan di seluruh negara yang gagal mempamerkan tanda harga pada hari pertama Ramadan.

Ketua Unit Harga, Seksyen Kawalan Harga dan Anti Pencatutan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP,  Mazlina Ahmad berkata daripada jumlah itu, Kelantan mencatat bilangan tertinggi sebanyak 31 kes; Kuala Lumpur (12); Kedah (10); Putrajaya (7) dan satu di Negeri Sembilan.

“Sepanjang Ramadan ini, kita akan melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan termasuk bazar Ramadan setiap hari, dan semalam pada hari pertama Ramadan, 3,811 premis diperiksa dan kita telah mengeluarkan 61 amaran.

“Buat permulaan, kita mungkin lebih berhemah dan hanya bagi amaran kepada peniaga. Tetapi selepas ini kita akan terus mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC), malam tadi.

Mazlina berkata pihaknya dengan kekuatan 2,300 pegawai dan anggota penguat kuasa juga akan bekerjasama dengan kementerian lain, termasuk Kementerian Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan operasi dan pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

“Setakat ini, kita belum menerima apa-apa aduan daripada pengguna mengenai penjualan di bazar Ramadan. Tetapi, jika pengguna ada sebarang masalah, mereka boleh membuat aduan secara terus kepada pihak kami menerusi saluran yang ada seperti laman sesawang, talian hotline atau aplikasi Whatsapp 0192794317,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlina berkata 411 kesalahan dikesan menerusi 84,619 pemeriksaan ke atas premis perniagaan ketika penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 323 kes bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barang kawalan, 73 kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan 15 kes pula dikesan bagi kesalahan menjual lebih daripada harga maksimum.

“Nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM38,862.30 manakala nilai kompaun dikenakan kepada peniaga adalah RM57,650,” katanya.

Mazlina berkata untuk Aidilfitri tahun ini, tempoh pelaksanaan dan senarai barangan bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang dijenamakan semula kepada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan akan diumumkan kementerian itu dalam masa terdekat.

-BERNAMA


Pengarang :