GURUN, 13 Mei — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Suhaimi Md Isa, 53, yang berkerusi roda pada Majlis Iftar Perdana dan Sumbangan kepada Fakir Miskin di Masjid Batu 5 Taman Ria Mesra 2 Jalan Jeniang, Gurun hari ini. — fotoBERNAMA HAK CIPTA (2019) TERPELIHARA
NASIONAL

KPKT gubal polisi baharu projek rumah terbengkalai

GURUN, 13 MEI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menggubal polisi berkaitan projek perumahan terbengkalai bagi memperkemaskan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani isu itu pada masa hadapan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana beliau mendapati terdapat beberapa perkara dalam SOP itu kurang keberkesanannya dan mengambil masa panjang untuk menguruskan projek terbengkalai itu.

“Jadi saya tengah lihat penggubalan polisi baharu agar lebih efektif, praktikal dan mudah dilaksanakan,” katanya pada sidang media semasa Majlis Iftar Perdana dan sumbangan kepada fakir miskin di Masjid Batu 5, Taman Ria Mesra dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasrudin.

Zuraida berkata, setakat ini terdapat 354 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Beliau berkata, kebanyakan projek itu terbengkalai disebabkan pemaju tidak mampu meneruskan projek berkenaan kerana masalah kewangan.

“(Projek perumahan terbengkalai) ada satu tempoh, bila datang ke kementerian kita akan isytihar ia adalah projek perumahan terbengkalai. Kita akan cuba mencari kontraktor penyelamat dan berikan dana untuk meneruskan projek terbengkalai itu dalam situasi tertentu. (Selain itu) ada juga pihak swasta datang untuk jadi kontraktor penyelamat dan mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Dalam pada itu, katanya KPKT dalam usaha untuk menyeragamkan kawalan import sisa plastik melibatkan kesemua 26 jenis kod kerana ketika ini hanya sisa plastik kod HS 3915 ditetapkan bagi pemeriksaan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Zuraida berkata kementeriannya mengambil langkah membentuk sebuah jawatankuasa untuk usaha penyeragaman itu yang turut melibatkan penyertaan daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

-BERNAMA


Pengarang :