NASIONAL

Krim antikulat SIRIM gondol pingat emas di ITEX 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Krim antikulat yang dihasilkan menggunakan kulit rambutan membolehkan SIRIM membawa pulang pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019, baru-baru ini.

SIRIM melalui kenyataan berkata, krim yang diekstrak menggunakan bahan semula jadi itu dihasilkan bagi merawat masalah kulit dan kuku.

“Kulit rambutan mempunyai bahan anti kulat multispektral, aktiviti antiradang dan antioksidan yang menepati keperluan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Inovasi itu diketuai Thavamanithevi Subramaniam,” kata kenyataan itu.

Anugerah berkenaan diterima ketika Pameran ITEX 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula dari 2 hingga 4 Mei lalu.

Bertemakan ‘Inventing for Digital Era’, ia mempamerkan lebih 1,000 ciptaan, teknologi dan produk dari lebih 20 negara.

Mengulas lanjut, SIRIM berkata, mereka turut membawa pulang tiga lagi pingat emas melalui hasil inovasi ‘Quantum Dot Light Emitting Diode QLED Device for General Lighting Application, ‘Eco Substrate for Coral Restoration & Rehabilitation of Marine Eco System’ dan Water Scarcity Footprint Apps (WaSFA).

“SIRIM turut memenangi tiga pingat perak melalui projek ‘Fish Attraction LED Lamp’, ‘Low Pressure Storage System’ dan ‘Lab on Chip for Molecular Diagnostic’,” katanya.


Pengarang :