RENCANA

KTMB: Nahas usah dicari

Oleh Unit Komunikasi Korporat KTMB

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Pada 14 April lalu, dua lelaki dipercayai warga Myanmar maut selepas dirempuh komuter ketika melintas laluan tren di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong.

Insiden maut pada 6.03 petang itu menokok dua lagi nyawa yang melayang ekoran tindakan pencerobohan landasan.

Pada 2018, seramai 17 orang mangsa maut dilanggar tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api KTMB. Setiap nyawa amat berharga.

Kematian akibat kemalangan yang melibatkan sektor pengangkutan awam yang semakin moden dan sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara sejak lebih seabad lalu, sememangnya amat dikesalkan.

Operasi tren meningkat

Hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beroperasi di seluruh pelosok Semenanjung. Dianggarkan seramai 108,352 penumpang menggunakan perkhidmatan tren KTMB sehari atau 3.29 juta orang sebulan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi, selain penumpang, syarikat itu turut menjadi penggerak kepada hampir 500,000 tan kargo sebulan atau 5.8 juta tan kargo setahun.

Beliau berkata dengan jumlah penumpang menghampiri 40 juta orang setahun itu, tidak dinafikan peneraju operasi kereta api nasional itu memikul tanggungjawab yang berat.

“Ia tidak hanya bagi memastikan semua pengguna dan muatannya bergerak dari satu destinasi ke destinasi mengikut jadual tetapi juga tiba di destinasi tujuan dengan selamat.

“Justeru, setiap kali berlakunya kejadian pencerobohan, kecurian dan kemalangan melibatkan manusia mahupun haiwan, operasi KTMB secara khusus dan negara secara amnya, amat terkesan,” tambahnya.

Usaha tangani statistik

‘Asri berkata selain 17 orang mangsa rempuhan tren sepanjang 2018, turut direkodkan 53 kes perlanggaran binatang ternakan, 86 kecurian peralatan dan kabel serta 14 lagi kejadian membaling batu ke arah kereta api.

Sepanjang 2018, KTMB merekodkan kerugian berjumlah hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan yang dicuri serta kerja baik pulih aset akibat perlanggaran dengan binatang ternakan.

KTMB mengambil pelbagai langkah proaktif untuk mengurangkan kes-kes tersebut dan usaha itu akan terus dilakukan untuk memastikan insiden sedemikian tidak terus menghantui operasi perkhidmatan tren.

Ini termasuk kempen sepanjang tahun untuk mendidik dan mengingatkan para pengguna tentang aspek keselamatan berhampiran aset kereta api seperti stesen dan landasan.

Usaha itu melibatkan pelbagai cara termasuk komunikasi interaktif dengan para pelanggan secara bersemuka dan menerusi pelbagai saluran media baharu. Di samping itu, taklimat keselamatan kereta api juga turut dijalankan di institusi pendidikan dan kawasan tumpuan masyarakat.

Turut diadakan , penetapan dan kemas kini papan-papan tanda amaran bahaya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang jajaran operasinya.

KTMB juga meningkatkan kawalan Unit Polis Bantuannya. Sehingga Disember 2018, Unit berkenaan menangkap 170 orang atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan.

Potensi bahaya

Namun, segala usaha itu masih tidak mampu mengekang sepenuhnya kejadian yang tidak diingini daripada terus menimpa operasi kereta api yang berfungsi sepanjang 365 hari setahun itu.

Cabaran yang mendepani KTMB juga semakin kompleks apabila set tren yang lebih moden, laju, senyap dan berkapasiti tinggi diperkenalkan, sekaligus melibatkan langkah keselamatan yang semakin mencabar.

Perkhidmatan kereta api elektik (ETS), tren antarabandar (KTM Intercity), KTM Komuter dan KTM Kargo kini bergerak dengan purata kelajuan maksimum antara 80 dan 140 kilometer sejam.

Selain tren yang bergerak mengikut jadual komersial, turut mempunyai bahaya tersendiri adalah perjalanan kereta api yang tidak dijadualkan seperti tren bantuan operasi, jentera perekod landasan (track recording car) serta tren sewa khas.

Selain itu, pembinaan landasan berkembar elektrik di antara Padang Besar dan kini diteruskan sehingga ke Johor Bahru, ditenagakan oleh bekalan tenaga elektrik sehingga 25,000 kilovolt (kV).

Potensi bahaya terkena renjatan elektrik daripada talian sumber tenaga di kawasan landasan itu amatlah tinggi sekiranya langkah dan panduan keselamatan mengenainya tidak dipatuhi dengan sempurna.

Usah leka dan lalai

Pada 19 Disember 2015, seorang pekerja kontrak potong rumput maut di tempat kejadian apabila dirempuh tren komuter ketika sedang leka berswafoto di landasan KTMB di Nilai, Negeri Sembilan.

Mangsa dilaporkan berdiri berhampiran landasan dan mengambil gambar bagi membuktikan kepada majikannya bahawa kerja pada hari itu selesai. Kelekaan tersebut akhirnya membawa padah kepadanya apabila mangsa tidak menyedari kehadiran tren komuter.

Dalam kejadian lain, keputusan dua beradik untuk tidak menggunakan jejantas pejalan kaki akhirnya membawa padah apabila kedua-duanya maut dilanggar komuter berhampiran Kampung Jawa, Klang pada 3 Mac 2017.

Selain manusia, pencerobohan binatang ternakan juga memberikan impak serius kepada operasi kereta api memandangkan kes itu berlaku saban masa.

Sepanjang tahun 2018, sebanyak tiga hingga lapan kejadian perlanggaran membabitkan binatang ternakan berlaku setiap bulan dan setiap insiden menyebabkan kerosakan kepada aset, kelewatan tren serta kemungkinan berlakunya nahas lebih buruk lagi.

Elakkan kemalangan

“Bayangkan tren ETS yang bergerak sehingga 140 kilometer sejam dengan kapasiti hampir 500 penumpang itu berlanggar dengan sekawan lembu yang meragut rumput berhampiran landasan.

“Impak insiden sedemikian rupa tentunya tidak mahu kita fikirkan. Justeru, usaha membanteras kejadian itu daripada berlaku perlu dilakukan secara berterusan dan melibatkan pelbagai pihak, “ tambah ‘Asri.

Seksyen 128, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-keduanya sekali bagi kesalahan merosakkan pagar premis kereta api untuk melintas landasan kereta api.

Manakala akta yang sama turut mengenakan denda sebanyak RM500 bagi kesalahan melintas landasan kereta api.

Hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya turut diperuntukkan dalam akta yang sama bagi kesalahan merosakkan harta benda kereta api.

-BERNAMA


Pengarang :