SELANGOR

Kuih kapit turun temurun resepi nenek terkenal di Ah Ma House

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Masih menggunakan cara masakan tradisional dapur arang, kuih kapit yang cukup popular di Ah Ma House bukan sahaja terkenal di Sekinchan tetapi turut dikenali di negara luar.

Pemilik Ah Ma House, Kwi Ai Fang, 41, berkata, pihaknya turut memasarkan kuih kapit itu ke Pulau Pinang dan mengeksport sehingga ke Singapura.

Katanya, beliau masih mengekalkan resepi kuih kapit itu secara turun temurun sejak daripada zaman neneknya dengan hanya menggunakan santan pekat, gula, tepung dan telur ditambah keistimewaannya apabila membakar menggunakan dapur arang.

“Sebelum ini kita beroperasi di rumah sahaja selama 10 tahun dan kini meluaskan perniagaan di Ah Ma House yang kini sudah tahun keempat serta turut memasarkan sehingga ke negara luar.

“Sambutan amat menggalakkan memandangkan jika dilihat sekarang sudah jarang orang menggunakan dapur arang namun kita masih mengekalkannya kerana itulah antara rahsia keenakannya,” katanya ketika ditemui SelangorKini di sini, hari ini.

Mengulas sama ada sukar untuk membuat kuih kapit, katanya, ia tidak susah namun memerlukam pemerhatian lebih teliti kerana dikhuatiri mudah hangus apabila ia hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja untuk membakar.

Terdahulu, Ah Ma House sesuai untuk mereka yang ingin mengimbau kenangan zaman kanak-kanak apabila pelbagai barangan antik dijual dan dipamerkan di sini.

Bukan hanya terkenal dengan kuih kapit namun ia sinonim menjual pelbagai barangan antik dan makanan, gula-gula serta snek zaman kanak-kanak sekitar 80-90an.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Ah Ma House dalam Lawatan Mesra DYMM Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah itu.

Difahamkan, itu adalah lawatan kedua baginda selepas yang pertama secara rasmi pada 2017 bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :