Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

KUIS kutip zakat RM7.2 juta dalam tempoh lima tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 23 MEI: Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) berjaya mengutip dana zakat sebanyak RM7.2 juta dalam tempoh lima tahun.

Rektornya, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, sementara jumlah kutipan wakaf adalah sebanyak RM1.2 juta, juga bagi tempoh yang sama.

“Kutipan ini dibuat untuk membantu pelajar-pelajar KUIS yang kurang berkemampuan dan ianya diperkasakan sejak 2014.

“Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang yang sudi berzakat dan berwakaf di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya di Masjid Al Azhar KUIS, di sini hari ini.

Hadir mencemar duli, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Pada majlis berkenaan baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 250 pelajar KUIS terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan mualaf.

Ab Halim berkata, pada tahun ini, seramai 186 orang mahasiswa dan mahasiswa KUIS telah mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor.

Katanya, ia berdasarkan bancian ke atas asnaf fakir dan miskin mengikut had kifayah.

“Manakala bantuan bagi asnaf mualaf pula seramai 66 orang, semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima,” katanya.


Pengarang :