Kukuh perpaduan melalui kepelbagaian agama | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Kukuh perpaduan melalui kepelbagaian agama

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kepelbagaian agama yang terdapat di Malaysia harus digunakan sebaiknya bagi mengeratkan lagi perpaduan antara semua lapisan masyarakat, kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris.

Beliau berkata apabila masyarakat lebih terbuka untuk mengenali dan memahami serta meraikan kepelbagaian agama, ia akan mengukuhkan lagi persefahaman antara kaum dan agama.

“Prinsip yang perlu diamalkan masyarakat adalah semangat perkongsian, elemen hormat-menghormati, hargai perbezaan satu sama lain serta mengamalkan sikap toleransi.


“Walaupun masyarakat kita tidak menganut agama yang sama, tetapi kita berkongsi negara yang sama, menggunakan jalan raya yang sama dan pergi ke restoran yang sama, sebab itu perbezaan agama perlu dihargai demi membina sebuah negara yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya ketika menghadiri program Salam Ukhuwah Wesak 2019 di Kuil Maha Vihara, semalam.

Turut hadir, Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Kira-kira 700 orang daripada pelbagai latar belakang agama hadir pada program itu, yang membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melawat ke rumah ibadat itu dan bersama-sama menikmati suasana berpuasa di bulan Ramadan.

Ini merupakan kali kedua program seumpama ini diadakan selepas kali pertama di Kuil Samadhi Vihara, Shah Alam tahun lalu.

Program itu turut mengadakan forum harmoni bagi menggalakkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama agar saling memahami terhadap acara-acara keagamaan yang ada di negara ini.

Sumbangan bernilai RM100 seorang turut diberikan kepada 50 orang daripada golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next