SELANGOR

Kursus APMS Siri 1/2019 terap elemen disiplin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 3 MEI: Disiplin dan kesediaan menggalas tanggungjawab antara elemen yang diterapkan sepanjang Kursus Asas Perajurit Muda Sukerala (APMS) Penguat Kuasa Negeri Selangor pengambilan Siri 1/2019.

Panglima Briged Kesebelas Infantri Malaysia, Briged Jeneral Dato’ Dr Mohd Radzi Abdul Hamid berkata, kedua-dua aspek berkenaan perlu dititikberatkan untuk menjadi seorang anggota penguat kuasa cemerlang seterusnya membantu melaksanakan tugas dengan baik dan efisien.

“Hal ini bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dalam menguruskan keperluan diri sendiri termasuk daripada segi pengurusan waktu, penugasan tugas selain mematuhi Operasi Standar Prosedur (SOP) dan peraturan ditetapkan apabila bertugas di mana-mana jabatan nanti.

“Contohnya, kita menerapkan kepada mereka melalui latihan yang dilaksanakan seperti aktiviti kawad kerana secara umumnya kawad dapat mendisiplinkan peserta secara automatik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup, di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES) Jugra, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Rejimen 502 Askar Wataniah, Lt Kol Azmi Tukiman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Yasir Yahya.

Mengulas berhubung perancangan pada siri kedua kursus APMS, Mohd Radzi berkata, pihaknya bercadang menarik lebih ramai penyertaan daripada agensi penguat kuasa selepas ini berdasarkan ketetapan kuota dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Katanya, hal itu memandangkan pengambilan peserta bagi kursus berkenaan adalah sebanyak dua siri dalam tempoh setahun.

“Jika ada lebih ramai pengambilan kemungkinan kursus ini akan lebih banyak diadakan kerana inisiatif Setiausaha Kerajaan Negeri menetapkan bahawa setiap anggota baharu penguat kuasa Selangor perlu menghadiri kursus ini terlebih dahulu sebelum mereka diatur gerak ke jabatan untuk melaksanakan tugas.

“Rejimen askar wataniah 502 juga tiada masalah untuk menganjurkan kursus ini bagi membantu Kerajaan Negeri kerana kerjasama kita sangat baik,” katanya.


Pengarang :