NASIONAL

Kursus lesen PSV dikendali syarikat e-hailing langgar undang-undang

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan menimbang semula keputusan melantik syarikat e-hailing mengendalikan kursus Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing), kerana ia satu pencerobohan kepada dasar penubuhan institusi memandu.

Presiden MAPIM, Datuk Hanafi Mat Zin berkata, langkah itu melanggar dasar ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor Institut/Sekolah Memandu 1992 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta melanggar kelulusan dan tanggungjawab yang diberikan kepada institusi memandu.

“Tindakan ini sememangnya tidak adil kepada pihak institusi memandu, kerana didapati kebanyakan syarikat yang bukan institusi memandu melanggar prosedur dan dasar ditetapkan di bawah akta tersebut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat e-hailing itu tidak mempunyai permit yang sah, serta kemudahan dan tenaga pengajar yang mencukupi dan berpengalaman bagi melaksanakan modul tersebut.

“Sebuah institusi memandu perlu menyediakan tempat sekurang-kurangnya 1.6 hektar mengandungi litar latihan, pejabat, bilik ceramah dan kenderaan diluluskan pihak Puspakom. Namun syarikat e-hailing yang dilantik tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemandu e-hailing boleh menjalani kursus secara dalam talian dan tidak perlu ke kelas untuk mendapatkan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sebelum 12 Julai depan, asalkan mereka mahu menghabiskan tempoh enam jam kursus itu.

Langkah itu bagi mempermudahkan pemandu e-hailing untuk menjalani kursus enam jam tanpa memaksa pemandu menghadiri kelas secara fizikal.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata satu surat bantahan rasmi akan dikemukakan secepat mungkin kepada pihak Kementerian Pengangkutan berhubung isu tersebut.

“Isu ini timbul atas kemungkinan pihak kementerian kurang jelas dengan prosedur telah ditetapkan. Oleh itu, satu surat kepada Menteri Pengangkutan akan dikemukakan bagi memperjelaskan masalah ini.

“Jika tindakan tidak diambil dalam masa terdekat, maka kami sedia berjumpa dengan beliau (menteri) secara bersemuka untuk membincangkan hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hanafi menolak alasan mengatakan institusi memandu tidak dapat menampung kursus berkenaan berikutan pada masa kini terdapat 200,000 pemandu e-hailing di negara ini.

“Tidak munasabah mereka (institusi memandu) tidak berkemampuan. Terdapat 222 institusi memandu yang mampu menguruskan modal latihan dan ujian kepada semua pemandu e-hailing dalam tempoh ditetapkan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :