NASIONAL

KWAP hanya pertimbang pinjaman RM1 bilion kepada SRC

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan kepada dia bahawa KWAP pada mulanya mempertimbangkan hanya untuk memberi kemudahan pinjaman RM1 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh, 66, yang kini telah bersara berkata semasa mesyuarat Panel Pelaburan KWAP bertarikh 15 Julai 2011, seseorang daripada lembaga itu telah mencadangkan supaya bekas perdana menteri itu diberitahu bahawa KWAP mencadangkan hanya kemudahan pinjaman RM1 bilion diberikan kepada SRC.

Bagaimanapun, beliau tidak ingat siapa yang membuat cadangan itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, saksi pendakwaan ke-38 itu berkata beliau diarahkan oleh Pengerusi KWAP pada masa itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah untuk mengikutnya pergi berjumpa Najib di pejabat perdana menteri di Putrajaya yang tarikhnya beliau tidak ingat.

Harvinderjit: Berdasarkan pernyataan saksi kamu, kamu katakan Panel Pelaburan KWAP telah meluluskan hanya RM1 bilion kepada SRC. Saya mengandaikan bahawa dalam mesyuarat itu, tiada dibincangkan mengenai kelulusan hanya RM1 bilion itu?

Azian: Saya tidak ingat dengan tepat. Semasa saya jumpa dia (Najib) saya sepatutnya memberitahunya bahawa KWAP hanya sanggup memberikan pinjaman sebanyak RM1 bilion.

Di peringkat itu, beliau membetulkan pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa Panel Pelaburan KWAP ‘telah meluluskan’ kepada ‘telah mempertimbangkan’ kemudahan pinjaman RM1 bilion kepada SRC.

Bagaimanapun, apabila ditanya oleh Harvinderjit sama ada perkara itu dicatatkan dalam minit mesyuarat, Azian berkata ia tidak diminitkan.

Azian juga memberitahu mahkamah bahawa KWAP tidak mendapat tekanan untuk meluluskan RM3.95 bilion kepada SRC walaupun terdapat nota bertulisan tangan daripada Najib yang bersetuju supaya pinjaman itu diberikan.

Dalam keterangan awalnya, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima surat secara serahan tangan daripada bekas pegawai khas Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias pada 3 Jun, 2011 oleh SRC, yang dialamatkan kepada Najib.

Dalam surat itu, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu telah memohon pinjaman sebanyak RM3.95 bilion, yang juga mengandungi catatan bertulisan tangan daripada Najib, yang ditujukan kepada beliau selaku CEO KWAP yang dibaca sebagai “bersetuju dengan cadangan ini”.

Saksi itu kemudian berkata daripada pemahaman beliau, nota itu membawa maksud perdana menteri bersetuju KWAP memberikan pinjaman itu kepada SRC International.

Harvinderjit: Kamu terima surat ini daripada perdana menteri…panel pelaburan tidak pernah berasa tertekan untuk meluluskan pinjaman itu?

Azian: Jika kamu gunakan perkataan ‘memaksa’, tidak (mereka tidak dipaksa).

Harvinderjit: Boleh atau tidak saya mencadangkan bahawa mereka tidak merasakan sebarang tekanan untuk meluluskan pinjaman itu, kerana jika mereka telah dipengaruhi untuk mempercepatkan kelulusan itu, mereka sudah boleh meluluskannya di peringkat ini.

Azian: Pengaruh dan paksaan adalah dua perkataan yang berbeza maknanya. Jika kamu gunakan perkataan pemaksaan jadi ya, KWAP tidak dipaksa.

Najib dituduh dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 10 Jun.

Hakim Mohd Nazlan turut mengingatkan Azian supaya tidak membincangkan perkara-perkara yang dibicarakan itu dengan orang ramai semasa cuti Hari Raya ini sehingga perbicaraan bersambung pada 10 Jun kerana saksi masih di bawah sumpah kerana beliau akan terus memberi keterangan pada tarikh itu (10 Jun).

Ini menimbulkan gelak ketawa dalam mahkamah yang dibalas oleh Azian seraya tersenyum bahawa beliau tidak akan berbuat demikian.

Di akhir prosiding, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada Hakim Mohd Nazlan dan semua yang berada di mahkamah. – BERNAMA


Pengarang :